Pages

Saturday 12 March 2011

Sejarah Penubuhan Universiti Utara Malaysia (UUM)

Universiti Utara Malaysia (UUM) ialah universiti keenam negara yang secara rasminya ditubuhkan pada 16 Februari 1984. UUM juga satu-satunya Universiti  yang ditetapkan supaya mengkhusus bidang pengurusan sejak awal penubuhannya. Perancangan  pembinaan Universiti Keenam ini bermula apabila Kementerian Pendidikan Malaysia ( sekarang ini IPTA berada di bawah Kementerian  Pengajian  Tinggi) merancang untuk menubuhkan Universiti ini dalam bulan ogos 1983. Pada 19 Oktober 1983 Jemaah Menteri telah memberi kelulusan rasmi ke atas projek yang pada waktu itu dinamakan "Projek Universiti Keenam", di Kedah. Beberapa bulan kemudian, pejabat rasmi Universiti Keenam ini diberi nama Universiti Utara Malaysia dibuka secara rasminya pada 15 Februari 1984 di Jitra. Empat bulan kemudian, UUM berpindah ke Kampus Darul Aman di Jitra pada bulan Jun 1984 apabila fasa pertama projek berkenaan siap. Perpindahan itu dilakukan untuk menyambut ketibaan pelajar sulung universiti menjelang kemasukan mereka pada awal bulan Julai 1984.

Dalam catatan sejarah UUM, universiti yang terletak paling utara ini bermula di kampus sementaranya di Bandar Darul Aman dekat Jitra dan kemudian setelah enam tahun di sana, berpindah ke Kampus Sintok, kira-kira 30 km di utara Jitra. Sebelum terbinanya kampus UUM di Sintok, kawasan Hutan Simpan Sintok seluas 4,000 hektar ini adalah kawasan yang digazetkan sebagai kawasan hitam akibat aktiviti pengganas komunis oleh Parti Komunis Malaya (PKM) yang bergerak di selatan Thailand.
 
Apabila PKM meletak senjata dan menamatkan perjuangan mereka, kawasan Sintok telah digazetkan menjadi kawasan putih semula pada Disember 1988 oleh bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Dr. Mahathir Mohamad, selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu. Tindakan itu membolehkan UUM memulakan pembinaan Kampus Sintok mulai 7 Januari 1989.


Sejak tarikh itulah kawasan Sintok menjadi lengang tanpa penduduk dan diisytiharkan sebagai kawasan hitam sehinggalah ia digazetkan semula sebagai kawasan putih pada Disember 1988 memandangkan keadaan telah aman dan sekali gus bagi membolehkan pembinaan Kampus Sintok, kampus tetap UUM.

Perdana Menteri telah memberikan tempoh masa selama 18 bulan untuk UUM menyiapkan Kampus Sintok. Ini bermakna pembinaan harus siap menjelang Julai 1990 apabila sesi pengajian yang baru akan bermula. Genap 18 bulan, Perdana Menteri membuat lawatan ke Kampus Sintok untuk melihat perkembangan pembinaan kampus berharga RM580 juta ini.

Disebabkan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan, termasuk mendapatkan pekerja binaan yang mencukupi, UUM hanya mampu memulakan operasinya di Kampus Sintok dua bulan kemudian, iaitu pada 15 September 1990 apabila pelajar-pelajar baru sesi 1990/91 mendaftar disusuli dengan kemasukan pelajar senior seminggu kemudian untuk memulakan pengajian. Jumlah pelajar UUM meningkat dari 3,500 orang pada ketika itu menjadi lebih kurang16,500 orang pada masa kini atau lebih. Pada masa kini, UUM mempunyai Kampus cawangan di Kuala Lumpur yang dikenali sebagai UUMKL ia khusus bagi golongan yang sudah bekerja yang tidak mahu meninggalkan pekerjaan mereka di sekitar Kuala Lumpur dan ini membolehkan mereka menyambung pelajaran mereka dengan mudah senang

Kampus Sintok telah dibina di atas sebuah lembah yang permai, dikelilingi bukit-bukau dan kehijauan hutan hujan tropika yang indah dengan flora dan faunanya. Di kampus ini mengalir Sungai Sintok dan Sungai Badak yang bertemu di tengah-tengah kampus, menambah cantikkan lagi pemandangannya.

Di lembah Sungai Sintok ini, sebelum terjadinya kampus UUM, terdapat sebuah lombong bijih timah terbuka. Perlombongan dan pembalakan merupakan dua aktiviti utama penduduk di situ pada masa dulu. Oleh kerana pengganas komunis mengeksploitasi penduduk yang dianggarkan seramai 3,000 orang di Sintok pada masa lalu, pihak pemerintah membuat keputusan memindahkan penduduk-penduduk tersebut ke kawasan lain di negeri Kedah lalu menutup pekan Sintok dan mengisytiharkan kawasan ini sebagai kawasan hitam.
  
Hasil penyelidikan dilakukan oleh empat orang pengawai sebanyak 35 nama anggota keselamatan dan juga orang awam termasuk dua orang isteri anggota polis telah dikenal pasti sebagai mangsa yang terkorban akibat keganasan komunis di sekitar kawasan Sintok. Sebahagiannya tidak mempunyai rekod yang lengkap dan sukar untuk mendapatkan nama penuh mereka. Naib Canselor UUM ketika itu, Tan Sri Datuk Dr. Othman Yeop Abdullah (kini Pengerusi Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDC) telah mengarahkan dibina sebuah tugu yang dikenali sebagai Tugu Peringatan Sintok yang dirasmikan oleh Tuanku Sultan Kedah pada 21 April 1992. 

Tugu ini didirikan di dalam kawasan kampus berhampiran dengan markas Pasukan Pegawai Simpanan (Palapes) UUM. Kawasan ini dinamakan Dataran Perwira. Pada tugu tersebut telah dipahatkan nama 35 mereka yang terkorban itu. Reka bentuk tugu adalah hasil ilham Arkitek UUM, Ismail Abdullah. Tujuan tugu ini dibina ialah untuk menjadi mercu tanda peringatan dan menimbulkan keinsafan kepada warga UUM serta generasi akan datang bahawa UUM yang tersergam indah dengan kemudahan serba canggih dan mendapat Status MSC ini ditegakkan di atas keringat serta titisan darah dan air mata generasi terdahulu. 

Pembinaan kampus tetap di Sintok pula bermula pada 8 Januari 1989. Kampus Sintok mula beroperasi pada 15 September 1990, dan perpindahan sepenuhnya ke Kampus Sintok berjaya dicapai pada 1 Januari 1991. Kampus Sintok yang berharga RM580 juta ini siap sepenuhnya pada 1993.. Bangunan-bangunan utama yang terdapat di kampus ini ialah Bangunan Akedemik, Perpustakaan Sultanah Bahiyah, Bangunan Pentadbiran Canselori, Masjid Sultan Badlisyah, Dewan Mu'adzam Shah, Dewan Tan Sri Othman, Kompleks Sukan, Varsity Mall, Bangunan Budi Siswa dan kompleks.

Adalah menjadi harapan pucuk pimpinan Universiti agar keinsafan itu akan mencetuskan semangat di kalangan warga UUM semoga mereka menuntut ilmu, menabur budi dan mencurah bakti dengan penuh ikhlas dan kesyukuran serta mengesampingkan kepentingan-kepentingan peribadi sejajar dengan motto UUM 'Ilmu, Budi, Bakti.' 


 Senarai Naib Canselor UUM:
  • 1984: Prof. Tan Sri Dato' Awang Had Salleh.
  • 1989: Tan Sri Dato' Dr. Othman Yeop Abdullah
  • 1993: Dato' Dr. Shamsuddin Kasim
  • 1999: Y. Bhg. Prof. Dato' Ir. Dr. Mohammad Noor Hj. Salleh
  • 2001: Y. Bhg. Brid. Jen. Prof. Dato' Dr. Ahmad Fawzi Mohd Basri
  • 2005: Y. Bhg. Tan Sri Dato' Wira Dr. Nordin Kardi
  • 2010: Prof. Dato' Dr. Mohamed Mustafa Ishak

Objektif UUM adalah seperti berikut :

· Sebagai pusat rujukan dalam semua aspek pengurusan
· Sebagai pusat sumber yang terulung dalam bidang pengurusan
· Sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang pengurusan

Misi Universiti adalah untuk menjadikan UUM sebagai sebuah Universiti pengurusan terulung dan bertaraf dunia.

Selaras dengan objektif dan misi penubuhan UUM sebagai sebuah Universiti yang mengendalikan pendidikan pengurusan, tenaga kerja yang mahir dalam bidang pengurusan akan digembleng bagi menyumbang ke arah mencapai matlamat tersebut.


No comments:

Post a Comment